KUMPULAN rock legenda, Wings merupakan satu nama besar yang wujud dalam industri muzik tempatan. Sejak menapak kukuh dalam belantika muzik tempatan seawal tahun 1985 hingga kini, kumpulan rock tersebut sering mendapat perhatian tidak kira dari peminat mahupun syarikat rakaman.
Apa yang menarik, setelah 10 tahun menyepi tanpa sebarang album baharu, Wings yang dianggotai oleh Awie, Joe, Black dan Eddie telah mengambil keputusan yang agak mengejut.
Mereka kini dengan rasmi telah mengikat kontrak untuk duduk di bawah payung KRU Studios. Ia merupakan satu keputusan yang sedikit mengejutkan kerana Wings telah lama 'terbang bebas' tanpa terikat dengan sebarang syarikat rakaman sejak tamat kontrak bersama syarikat rakaman BMG lebih lima tahun lalu.
Apa yang membuat Wings mengambil keputusan untuk bersama KRU. Adakah kerana mereka tidak mempunyai kewangan yang kukuh untuk menerbitkan album baharu selepas 10 tahun tidak muncul dengan sebarang produk? Adakah Wings membenarkan KRU 'mengganggu' asas muzik rock mereka sebagai sebuah syarikat rakaman yang berhak menentukan jenis muzik yang mereka mahukan? Apa kompromi antara Wings dengan KRU? Semua itu dijawab oleh Wings dan pihak KRU yang bakal menerbitkan album Wings dengan judul Menakluk Kosmos.
Kosmo!: Apa yang meyakinkan Wings untuk menerima tawaran daripada KRU, sedangkan Wings telah lama bebas tanpa perlu mengikut petunjuk syarikat rakaman?
WINGS: Kami melihat daripada kejayaan yang dicapai oleh KRU yang diterajui oleh tiga anak muda daripada pelbagai sudut iaitu perniagaan, perfileman, mahupun muzik.
Kami juga menaruh harapan yang tinggi untuk mereka membuat sesuatu yang bakal terbangkan Wings ke tahap yang lebih tinggi. Sejujurnya, kami yakin untuk bernaung di bawah syarikat ini kerana ia merupakan 100 peratus milik bumiputera dan begitu juga kami yang mempunyai matlamat yang sama.
Adakah KRU terbabit dalam pemilihan muzik atau hanya promosi?
Apa yang Wings mahu, KRU akan bantu, namun dari sudut susunan lagu-lagu yang akan dihantar ke radio atau untuk mempromosi, kami akan berbincang bersama-sama, untuk menepati cita rasa dan konsep serta tema Wings yang asal. Bagaimanapun, konsep album adalah hak mutlak Wings. KRU tidak campur tangan terhadap karya kami.
Wings menandatangani kontrak dengan KRU selepas atau sebelum album siap?
Sebelum album siap.
Adakah KRU akan menyumbangkan ciptaan mereka?
Kami akan menilai sesiapa sahaja yang ingin menyumbangkan lagu kepada Wings. Kami tidak mahu menolak lagu yang hebat kerana jika lagu tersebut mampu menaikkan nama Wings, apa salahnya jika kami terima. Namun, dalam masa yang sama, kami juga ada menyimpan material yang dibuat oleh Wings dan juga membuka peluang kepada yang lain untuk membuat lagu-lagu yang terbaik untuk kami.
Terima atau tidak jika KRU ingin menukar konsep Wings?
Dalam perbincangan kami, KRU telah meletakkan sepenuhnya kepercayaan kepada Wings untuk membawa muzik kami iaitu ia tidak akan lari dari konsep Wings yang asal. Namun, jika KRU punya konsep menarik, kami tidak akan teragak-agak untuk melakukannya, mungkin sebagai projek khas.
0 comments: on "Hiburan : Wings Pelaburan Terbesar KRU"
Post a Comment